Kebanyakan dari kita sememangnya tidak dapat lari daripada menjadi peminjam atau penghutang. Kebiasaannya, kita meminjam bagi tujuan membeli rumah atau kenderaan. Perkara ini sememangnya tidak mungkin dapat dielakkan kerana istilah hutang itu pasti menjadi perkara "wajib" bagi hampir semua individu. Bagi mengelakkan berlaku kekeliruan dan timbul masalah, kita haruslah mengenal pasti akan beberapa prinsip sebelum menjadi peminjam. Antaranya:
PINJAM BERDASARKAN KEPERLUAN
Sebelum memilih sesuatu bentuk pinjaman, kenal pasti keperluan pinjaman tersebut berdasarkan kewangan bulanan anda. Buat pinjaman berdasarkan keperluan bukannya kehendak anda. Contohnya, jika kurang berkemampuan untuk membayar dua bentuk pinjaman seperti kenderaan dan rumah, pilih yang mana lebih utama. Jika anda merasakan kenderaan lebih utama, buat pinjaman hanya untuk kenderaan sahaja. Jika sudah berkemampuan atau hutang kenderaan telah dilangsaikan, maka anda boleh membuat pinjaman perumahan pula.
MAMPU UNTUK MEMBAYAR BALIK
Harus diingat, pinjaman yang anda buat perlu dibayar setiap bulan mengikut jumlah yang telah ditetapkan. Justeru, semak dengan terperinci jumlah bayaran yang perlu anda bayar jika membuat pinjaman tersebut. Jangan sesekali membuat pinjaman melebihi tahap kemampuan anda kerana risikonya amat tinggi. Jangan terlalu bergantung kepada agen kewangan , sebaliknya kira kadar kewangan anda sendiri kerana anda lebih mengetahui tahap kemampuan sendiri berbanding orang lain. Pastikan anda benar-benar berkemampuan untuk membayar pinjaman tersebut.
BERDISPLIN UNTUK MEMBAYAR BALIK
Tidak cukup sekiranya anda berkemampuan untuk membayar balik pinjaman tetapi tidak berdisplin untuk membayarnya setiap bulan. Sikap suka bertangguh untuk membayar balik pinjaman akan merugikan diri anda kelak. Sebelum menjadi peminjam tanya diri anda adakah anda mempunyai displin yang tinggi untuk membuat bayaran setiap bulan. Jika anda merasakan tidak mampu melakukanya , lebih baik batalkan hasrat anda untuk membuat pinjaman.
ELAK MENJADI PENJAMIN
Menjadi penjamin bagi individu lain yang ingin membuat pinjaman sebenarnya mempunyai risiko yang tinggi. Ini kerana seseorang penjamin akan bertanggungjawab untuk menjelaskan hutang pihak yang meminjam sekiranya dia tidak membayar hutang tersebut. Jika anda sebagai penjamin juga sukar untuk menjelaskan hutang tersebut, nama anda mungkin akan disenarai hitamkan dan sukar untuk membuat pinjaman lain. Justeru, sebelum bersetuju menjadi penjamin, kenali latar belakang dan sikap orang yang ingin dibantu itu terlebih dahulu, jika khuatir atau berasa was-was , elakkan daripada menjadi penjamin bagi pihak lain.
ELAK PINJAM BAGI TUJUAN PERIBADI
Terdapat segelintar individu yang membuat pinjaman peribadi semata-mata bagi membeli barangan mewah atau peribadi, mengubahsuai kenderaan atau tujuan melancong. Malahan tidak terkecuali ada yang menggunakan pinjman peribadi untuk berkahwin. Jika boleh perkara ini harus dielakkan bagi menjamin masa depan yang lebih baik kelak. Sampai bila anda ingin hidup terus dibelenggu dengan hutang. Pinjaman peribadi hanya boleh dibuat jika anda benar-benar perlu sahaja, misalnya bagi keperluan kesihatan atau pendidikan.
No comments:
Post a Comment